SAKIT
Bila Dino cerita bab sakitnya yang kerap dialaminya di SMS dulu teringat aku yang aku pun pernah sakit. Itulah seingat aku sakit 'pertama' yang aku alami ketika di Asrama Pengakap. Entah kenapa hari itu badan aku tiba-tiba naik gatal-gatal dan merah seluruh badan. Bukan saja gatal tapi bengkak-bengkak. Siap ada yang tanya, ada pernah kena demam campak atau pelentong ke? Tapi bengkak-bengkak yang naik tu tak ada cecair dalamnya. Kalau di kampung tu gegata kata orang. Siap buboh bedak sejuk. Mana dapat bedak sejuk aku pun dah tak ingat tapi pastinya bukan dari asrama perempuan sekolah Derma. Badan aku naik gatal-gatal tu waktu petang. Malam tu aku pun dikecualikan dari pergi 'prep' di bahagian atas bangunan Asrama Pengakap. Di Asrama Pengakap, tak ada 'sick bay', siapa yang sakit atau demam tu, kalau tak teruk, duduk atau baringlah di atas katil sendiri dalam dorm. Aku punya la boring dan sunyi, walaupun terkadang-kadang ada bunyi orang menapak di tingkat atas. Terkadang-kadang ada juga perasaan 'suspen' dan takut-takut. Bila dah habis prep malam tu dan kawan-kawan aku turun baru la aku rasa lega sikit.
MATA-MATA
Itu kira baru sakit sikit saja. Teringat juga aku bila aku kena sakit mata(mata-mata), tapi waktu tu dah pindah ke Bohor Pulai. Aku dan rakan-rakan seasrama yang mengalami sakit mata semuanya ditempatkan di sick bay, tika tu di tingkat bawah sekali di Blok A. Antara yang ditempatkan bersama aku adalah Syed Harun, batch 76. Lama juga kena sakit ni, dalam 7 ke 8 hari. Memang sakit kali ni mencabar sekali. Terutama sekali bila dalam solat. Terasa lebih sakitnya bila ruku'. Tapi yang bestnya bila waktu sujud. Rasa nak terkeluar biji mata bila sujud. Alhamdulillah, dengan hidayah dan taufik dari Allah, kami tetap dapat bersolat walaupun demikian keadaannya.
Bila sakit mata tu, memang lah terasa boringnya, berbagai teori dan eksperimen timbul untuk melegakan sakit mata tu. Siap basuh mata dengan air sabun kerana dengar khabar teorinya akan mempercepatkan kadar penyembuhan dari sakit mata tadi. Wallahu a'lam samaada usaha tersebut menyumbang dalam proses penyembuhan tu!
Ada satu ketika asrama putera terutamanya pernah dilanda sakit mumph (betui ke tidak ejaan ni tak pasti pulak). Dalam bahasa Melayu kalau tak silap aku tu begok/(ada panggil bengok (tapi bukan bongok) la tu. Semua pelajar yang kena begok di kuarantin kan di bilik yang jauh terpencil dari orang lain. Makanan pun diasingkan jugak. Kalau tak silap aku tempat mandi pun asing jugak. Supaya ianya tidak menular di kalangan semua pelajar (jangan jadi epidemik kot)
TOLERANSI
Ketika sakit yang sebegini, waktu sejam dua sangat terasa lamanya. Jadi ada antara kami ada yang mendapatkan buku cerita untuk dibaca. Sebenarnya membaca pun bukan boleh sangat, terutamanya bila taik mata tak henti-henti keluar dan mata merah menyala berdenyut-denyut. Membaca hanya 'tolerable' bila sakit dah mula beransur sembuh.
Cerita bab sakit ni, aku pasti yang masing-masing kita pernah mengalaminya. Ada yang sakit teruk, ada yang sakit kurang teruk, ada yang asyik kena sakit, ada yang jarang-jarang sakit, ada yang tahan sakit, ada yang tak tahan sakit. Ada yang masih boleh tersenyum simpul bila terkena sakit yang menyakitkan. Tidak sedikit pula yang terjerit-jerit bila mengalami kesakitan yang serupa dek kerana tolerance levelnya yang lebih rendah.
LABOUR ROOM
Apa yang aku amati, adalah orang yang beriman itu, lebih mudah dan bersedia apabila terkena penyakit, maksud aku dapat lebih bersabar menghadapinya.
Contoh yang mudah. Aku 'bertuah' dapat menemani isteri aku melahirkan anak pertama di 'labour room' ketika di Newcastle. Bilik-bilik 'labour' ni bersebelah menyebelah. Tika tu bilik-bilik 'labour' lain di dalamnya wanita-wanita bangsa Inggeris (maaf- tidak bermaksud ditujukan kepada kawan-kawan yang ada mem mat saleh). Jeritan demi jeritan aku dengar. Memang doktor di sana menggalakkan menjerit waktu bersalin.
Bagi yang tak tahan sangat tu, atau tak nak rasa sakit siap doktor recommend buat prosedur epidural. Isteri aku taklah menjerit, aku pun banyak pesan bersabar sambil baca doa khas ketika hendak bersalin sambil tiup kat perut. Doa ni (yang merupakan beberapa potong ayat al Qur'an dari beberapa buah surah al Qur'an) boleh didapati dalam risalah kumpulan doa oleh Ibnul Qayyim. Yang bagusnya risalah atau buku ni, setiap doa di dalamnya tu ada sandaran sumbernya dari Rasulullah s.a.w. Bukanlah aku ciplak dari tok bomoh.
KONSEP SAKIT
Konsep menghadapi penderitaaan, dugaan dan penyakit bagi seorang yang beriman itu berbeza dari yang bukan beriman. Menghidapi penyakit itu membawa rahmat dan kebaikan bagi seorang mukmin. Sakit sebagai 'vehicle' baginya menebus dosa dan menambah pahalanya di akhirat. Mukmin yang bersabar dan mengingati Allah ketika sakitnya sebenarnya bertambah dekat kedudukannya di sisi Allah SWT.
Cuba kita tengok dalam surah(chapter) al-Baqarah, ayat 155 dan 156.
"Kami pasti akan menguji kamu dengan ketakutan, kelaparan, kekurangan hasil kekayaan, kehilangan jiwa(kematian) dan kekurangan makanan. Dan sampaikanlah khabar gembira pada orang-orang yang sabar. (Iaitu) mereka yang bila terkena bala'(ujian) berkata: Inna lillahi wa inna ilaihi roji'un:(Kami adalah milik Allah dan kepadaNyalah kami akan kembali)."
Juga diberitakan melalui riwayat imam Muslim sebuah hadith(tradition of the prophet); Abu Yahya (Suhaib) bin Sinnan Arrumy radhiallahu anhu berkata: Bersabda Rasulullah s.a.w.:"Sangat mengkagumkan keadaan seorang mukmin, sebab segala keadaannya untuk ia sangat baik, dan tidak mungkin terjadi demikian kecuali bagi seorang mukmin: Jika mendapat nikmat ia bersyukur, maka syukur itu lebih baik baginya, dan bila menderita kesusahan (ia) sabar, maka kesabaran itu lebih baik baginya."
Di dalam hadith yang lain pula(riwayat Bukhari dan Muslim),
Bersabda Rasulullah s.a.w.: "Tiada seorang muslim yang menderita kelelahan atau penyakit atau kesusahan (kerisauan) hati, bahkan gangguan yang berupa duri melainkan semua kejadian itu akan berupa penebus dosanya."
Komen seorang alim (Imam Nawawi) bahawa syarat kurniaan Allah bahawa setiap penderitaan jadi penebus dosa, asalkan muslim itu menyambut penderitaannya tadi dengan jiwa iman dan kesabaran.
Mungkin juga dengan mendapat sakit tu, Allah nak bagi kebaikan kepada kita.
Imam Bukhari meriwayatkan bahawa;
Abu Hurairah r.a. berkata: Bersabda Rasulullah s.a.w. "Siapa yang dikehendaki oleh Allah padanya suatu kebaikan (keuntungan), maka diberinya penderitaan. "
Begitulah roda kehidupan. Masing-masing akan berhadapan dengan cabaran dan dugaaan. Kata orang tua-tua dulu, Allah dah bagi panggu masing-masing.
Yakni Allah dah tentukan Qada' dan Qadar (Divine Predestination) seseorang atau makhluk itu, cuma kita tak tahu apa yang telah ditentukan untuk kita. Kita dituntut berusaha dan berdoa dengan yang baik.
Yang penting - Berdoa dengan harapan dari Allah Yang Maha Penyembuh dan tidak berasa berputus asa dengan berusaha mencari ubat atau penawarnya. Satu ajaran agama – bahawa setiap penyakit ada penawarnya kecuali maut. Imam muslim narrated that the Prophet s.a.w. said:
"Every illness has a cure, and when the proper cure is applied to the disease, it ends it, Allah willing."
Juga disebut dalam hadith sahih(means strong or sound hadith/tradition) bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda: "Allah has not sent down a disease except that He has also sent down its cure." [quoted from "Healing with the Medicine of the Prophet s.a.w. by Imam Ibnu Qayyim Al-Jauziyah]
Seorang muslim itu menghadapi dunia ini sebagai satu laluan atau jambatan ke alam yang lebih luas dan kekal yakni akhirat. Oleh itu setiap dugaan hidup baik merupakan menghidapi penyakit, ditimpa berbagai musibah adalah menjadi peluang mendapat pahala/rewards di akhirat.
Ibnu Umar r.a. berkata: Rasulullah s.a.w. memegang bahuku sambil berkata: "Jadilah kau di dunia ini bagaikan orang asing (ghorib) atau orang rantau (pengembara)…."
-sebahagian dari hadith riwayat imam Bukhari.
2 comments:
Paling aku ingat sakit Songkhla... kudis gatal buta...kat celah kangkang sebab spender jarang basuh..hehe..ubat dia beli kedai sinseh jer..warna merah..sapu kat situ, adui..sejuk..pedih..
Aizudin
akupun pernah kena quarantine sebab sakit mata. walaupun boring tetapi best juga sebab tak payah pegi kelas...boleh tidor sepanjang hari
Post a Comment