23 November 2009

ASRAMA PENGAKAP 11 : oleh Aizuddin


SENYUM ITU SEDEKAH, CIKGU MUNIR

Antara cikgu yang sama-sama tinggal dengan kami penuntut tahun satu batch 1974 di asrama pengakap adalah cikgu Munir. Personaliti beliau sangat unik. Selalu senyum. Waktu mengajar dia senyum.Waktu jumpa di asrama pengakap pun senyum. Memang dia tak pernah lokek dengan senyum. Jarang aku nak jumpa situasi dia tak senyum. Mungkin sekali dua saja seingat aku.

Rupanya senyum ini pun boleh mendatangkan pahala. Memang sah, kerana diriwayatkan dari Nabi Muhammad s.a.w., senyum itu merupakan sedekah; diantara banyak jenis sedekah.

Moga Allah memberi cikgu Munir pahala-pahala bersedekah melalui senyuman-senyuman beliau. Rakan sekelas aku pun ada yang suka tersenyum. Siapa lagi kalau tak Fouzi Ali lah tu. Sampai cikgu dari Peace corps – cikgu Kitton panggil dia 'smiley', dan mengambil gambar khas 'smiley' buat diabadikan sebagai kenangannya ketika mengajar di SMS Perlis. Tapi 'kegemaran' Fouzi untuk senyum ni bukan takda pengalaman menariknya. Teringat aku bila Pengetua Abdul Rahim Abdul Majid masuk kelas 'all-boys' kami marah-marah sebab bising. Bila nampak Fouzi tersenyum, agaknya dia naik bengang, dia marahlah kenapa senyum-senyum. Apa lagi, kawan aku ni naik merah muka la, tapi masih senyum-senyum jugak.

 

RIBUT,

Sekali sekala ketika di Asrama Pengakap ni, ada berlaku hujan ribut. Mujurlah aku katil aku di sebelah dalam bilik. Aku tak pasti dan dah tak ingat bagaimana nasib rakan-rakan yang katil mereka rapat ke tepi tingkap (macam Azizi dan Tapa). Tapi bila guruh berdentum-dentum dan disertai dengan libasan air hujan yang lebat tu, suspen juga dengan kebolehan bangunan asrama pengakap ni bertahan.

Cerita mengenai hujan, ribut, guruh dan petir ada disebut beberapa tempat di dalam al Qur'an. Ada disebut dalam konteks azab yang menimpa kaum yang mendustakan para rasul Allah. Ada juga disebut sebagai nikmat yang diturunkan oleh Allah. Ada juga dalam kontek perumpamaan bagaimana Allah menghidupkan semula manusia di akhirat kelak. Konteks yang lain pula bila ayat membincangkan tentang amalan manusia. Tidak kurang juga dalam konteks guruh  bertasbih memuji Allah (Surah Ar Ra'd)

 

TANGGUH PINDAH

Ribut di Peghlih ni aku kadang-kadang rasa lain macam jugak. Al maklumlah, banyak kawasan tanaman padi yang luas,kurang pokok-pokok atau bukit untuk menampan angin ribut. Tapi bangunan asrama pengakap ni, alhamdulillah dapat bertahan. Malahan bangunan baru pula yang kurang dapat bertahan.

Suatu ketika,  kami diberitahu kemungkinan akan pindah ke Bohor Pulai pada bulan Mac 1974, tapi akibat ribut kuat bumbung bangunan sekolah tercabut. Diberitakan bahawa angin puting beliung melanda kawasan sekolah di Bohor Pulai hingga berlaku kerosakan kepada bangunan sekolah (tak terfikir pula samaada kontraktor yang bina bangunan tu ikut betul-betul spesifikasi JKR? Kalau budak zaman sekarang mungkin dah terfikir. Mana taknya. Berita mengenai kejadian bumbung makmal komputer sekolah dan stadium negeri Terengganu yang runtuh dilaporkan di dada-dada akhbar harian!).

Jadi pada bulan Mac itu, kami diberitahu pelan pemindahan ke bangunan sekolah yang baru itu terpaksa ditangguhkan sementara kerja-kerja membaiki kerosakan dilaksanakan.

 

CROSS-COUNTRY

Di asrama pengakaplah aku mula-mula diperkenalkan dengan cross-country oleh warden dan cikgu-cikgu yang duduk bersama di situ. Mula-mula mengah juga dibuatnya, walaupun aku pernah lari keliling padang bola bila berlatih main hoki waktu darjah 5 dan 6 ketika di sekolah ACS dulu. Tapi kemudian , alah bisa tegal biasa, jadi seronok pulak. Boleh tahan juga, aku ingat lebih dari 2 batu. Cuma bila dah pindah ke Bohor Pulai, jarang-jarang dapat cross-country. Teringat aku waktu sukan sekolah di Bohor Pulai. Setiap pelajar kena lari cross-country dan sekiranya dalam masa yang diperuntukkan dan mengikut ranking siapa sampai dulu akan diberi mata kepada rumah sukan masing-masing. Kecuali pelajar yang terlibat dengan palang merah. Mereka ni tolong jaga check point supaya takda pelajar yang 'mengelat'. Peristiwa yang tak dapat aku lupakan ketika cross-country bila lalu kawasan kampung dan sawah Bohor Pulai, ada lembu "on the loose". Habis dikejarnya penuntut yang sedang cross-country. Aku pun kena kejar jugak. Mungkin hikmah dikejar lembu juga aku dapat habiskan cross-county ini dengan mendapat mata untuk rumah sukan aku – rumah zuhal. Bak kata Cikgu dari Peace corps – Mr Rowland, aku ni "orang-orang Zuhal – kuning". Tapi selama aku di SMSPs sampai keluar, Zuhal tak pernah jadi juara keseluruhan.



1 comment:

Azizi Ahmad Termizi: said...

Aizuddin

Memang seram jugak, tapi takda la sampai kena hujan ribut katil aku tu.

lagu-lagu top 1974-78