17 June 2009

Pertemuan Di Tanah Suci


"Anak! Tolong Mak Cik." kedengaran suara seorang perempuan di dalam lingkungan umur 70 tahun, memecah konsentrasi ku, yang pada ketika itu, sedang membelek-belek tasbih-tasbih untuk di bawa pulang ke Malaysia sebagai ole-ole kepada sanak-saudara dan rakan-taulan yang ditinggalkan. Terasa juga jubah ku ditarik-tarik oleh perempuan itu dalam cubaannya untuk menarik lagi perhatian ku.

Apabila aku menoleh kepadanya, dari raut mukanya, aku dapati dia di dalam keadaan panik dan hilang arah. "Bertenanglah Mak Cik. Cuba Mak Cik beritahu, apa yang boleh saya bantu." jawab ku dalam nada yang tenang tapi tegas. Aku harap perempuan itu dapat melihat betapa yakinnya diri ku ini dalam menghadapi situasi kecemasan sebegini.

"Mak Cik rasa Mak Cik dah sesat." ujar perempuan itu dalam nada suara yang terketar-ketar. Aku cuba mencari tag pengenalan diri perempuan itu, namun usaha aku sia-sia sahaja. Beg galas kecil yang dibekalkan oleh Tabung Haji juga tidak kelihatan. Sambil meninggikan diri ku, aku mengimbas persekitaran ku untuk menentukan kedudukan sebenar kami dan juga untuk diri ku memikirkan tindakan ku yang selanjutnya.

"Ina, jom ikut abang!" kata ku kepada isteri ku yang tengah sibuk memilih kain tudung Turki untuk dibeli sebagai hadiah kepada ibunya yang telah bersetuju untuk menjaga ketiga-tiga anak kami semasa pemergian kami ke Tanah Suci. Tanpa berlengah, isteri ku terus mencapai tangan perempuan tersebut dan bergegas mengikuti ku.

"Maktab 21 Tabung Haji", begitulah ayat yang tercetak pada kertas A4 dan dilekatkan pada pintu masuk bangunan yang berada di hadapan kami bertiga. "Alhamdulillah! Syukur." ujar ku dalam nada kelegaan. "Kita dah sampai." kata ku sambil memandang kepada Mak Cik Eton (nama yang aku diberitahu semasa dalam perjalanan ke Maktab 21 itu) yang kelihatan masih lagi memegang erat tangan isteri ku. Tanpa melengahkan masa, kami menyerahkan Mak Cik Eton kepada Pegawai Petugas Tabung Haji yang berada di situ dan terus beredar.

Sebagai ganjaran, aku mengajak isteri ku minum teh di warung pemuda Mesir yang berdekatan dengan maktab tersebut. Isteri ku memesan dua biji samosa yang menjadi makanan petang kegemarannya selama dia berada di Tanah Suci.

Semasa menikmati minuman petang di tepi jalan yang menuju ke pintu masuk Babul Fatah, Masjidil Haram, aku terlihat di sudut mata ku seorang lelaki yang memakai jubah, berehat di atas ketulan batu besar. Mukanya macam pernah ku lihat. Lenggok pergerakan badannya sama seperti salah seorang rakan setingkatan ku yang telah terpisah 24 tahun yang lalu.

Dengan yakin, aku merapati lelaki tersebut dah terus menyapa "Ahmad Kamal?". Memang tepat jangkaan ku. Aku dapat tahu dia seorang pensyarah di UiTM Shah Alam dan sekarang ini bergelar Dr. Sayangnya tiadapun sebarang alat perakam untuk merakam detik bersejarah itu. Apa boleh buat, masing-masing hanya sibuk untuk menunaikan rukun islam yang ke lima. Ditakdirkan pula, sekembalinya dari Tanah Suci, business card yang diberi oleh Dr. Kamal tidak dapat dikesan, maklumlah terlalu banyak beg yang dibawa pulang.

Dr. Kamal, insyaallah, we'll see each other at the Reunion Dinner...

2 comments:

Hussin said...

Tn Hj Zauri..Tahun bila hang pi?

mzauri said...

1978 campoq 24 sama dengan 2002... Yaa... tahun 2002.

lagu-lagu top 1974-78