21 June 2009

Satu Nostalgia


Bagi generasi yang masuk dari 1985 keatas mungkin tidak merasai apa yang kami (kemasukan 1973 dan 1974) telah lalui. Kami masuk ke SMS Behor Pulai pd pertengahan 1974 di mana sebelum itu kami menumpang di Sek. Men. Derma Kangar dan tinggal di asrama Jln Pdg Katong. Jika dibandingkan kemudahan yang ada sekarang, lebih-lebih lagi yang masuk selepas 1990, keadaannya sangat jauh berbeza. Kehidupan semasa 1970an adalah sukar dan mencabar, dan secara relatifnya sumbangan dan pencapaian Cikgu Rahim, k/tangan serta warga-warga yg lain kepada SMSP adalah SANGAT besar.

Ya, kami terpaksa beratur untuk mengambil air yang dibekalkan oleh lori JKR, dan kadang kala terpaksa ambil dari rumah cikgu Abd Rahim dan Cikgu Osman Mat seawal 5.00 pagi.

Tidak ada satu pun telefon awam, dan yang ada hanyalah satu di pejabat sekolah. Handphone, komputer, dan internet hanya bermula di negara ini dlm sekitar awal 1990an. Oleh itu hanya surat dan pesanan akan menjadi penghubung komunikasi dgn dunia luar. Bas kami tidak ada air condition, dan hanya mempunyai sandar kepala besi. Bas itu juga yang membawa kami pulang ke kampung sejauh ke selatan negeri Perak. Ketika itu juga tidak ada ada hi-way. Perjalanan kami pulang ke kampung ada yang mengambil masa 12-24 jam.
Bagi kami yg bukan dari Pghelih kami hanya berpeluang balik kampong semasa cuti penggal sahaja. Jika cuti tidak panjang, kami menumpang dengan keluarga kawan2 Pghelih.
Kami juga bermain bola dan bersukan di atas padang yang penuh dengan batu-batu. Jika jatuh mesti luka. Kami jugalah yang mengutip dan membuang batu-batu tersebut secara gotong royong, atau dalam aktiviti PE, dan hukuman denda. 

Gelanggang badminton hanyalah simen biasa, dan main volleyball di atas kawasan yang bertar. Walau pun menurut pandangan kini ketika itu kami mengharungi kesukaran yg mencabar tetapi sebahagian besar dari kami tidak melihat perkara sedemikian sebagai satu kesukaran tetapi sebaliknya kami sangat bersyukur dengan apa yang ada. Di sini sebenarnya taraf kehidupan kami sudah dikira meningkat kerana kemudahan yang diberikan adalah lebih baik dari apa yang ada di rumah sendiri. Di sini kami ada tempat tidur sendiri dengan bertilam yg empuk. Di rumah sendiri kami hanya ada tilam nipis atau tidur di atas tikar mengkuang. Di sini juga kami ada lampu fluorescent (walau pun kadang kala bekalan elektrik terputus) berbanding dengan lampu minyak tanah atau gasoline dan mempunyai tempat belajar yang lebih selesa jika dibanding di rumah.

Kami juga mendapat biasiswa RM 30 sebulan di mana ketika itu sepinggan nasi ganja atau nasi bungkus hanya berharga 30 sen, dan sepasang seluar jean yang top berjenama Amco dan Saddle King hanya berharga RM 8-10. Berdasarkan penilaian kuasa beli, nilai RM 30 ketika itu adalah seumpama RM 300 masa kini. Di samping itu setiap hujung minggu kami ada wayang dalam dewan, selalunya filem-filem yg terbaharu dan uncensored. Bila tiba part-part yang panas dan brutal, pembekal akan memblurkan pancaran filem. Oleh itu bagi kami apa-apa kesukaran yang dialami bukanlah sesuatu yang memberati sebaliknya merupakan sedikit kemewahan dan peningkatan taraf hidup.

Pada masa itu juga tidak konsep kaunseling. Hanya teguran, amaran, tengkingan, rotan, dan penampar. Namun itu juga yang telah menjadikan kami. 

oleh Rook Takes Knight f6 Check
drunken.elephant@rocketmail.com

No comments:

lagu-lagu top 1974-78